Tuesday, August 31, 2010

PEMUDA PAS KUANTAN TURUN PADANG SANTUNI MASYARAKAT DENGAN MENGEDAR RISALAH DAN BUAH KURMA SEBELAH MASJID NEGERI

Dewan Pemuda Pas Kawasan Kuantan telah turun padang dengan menyantuni orang ramai yang berada di padang MPK bersebelahan dengan gerai bazar ramadhan dan masjid negeri.

Sdr Muaz Razak, Setiausaha Dewan Pemuda Pas Kawasan Kuantan berkata "Kami pecahkan beberapa kumpulan supaya dapat diagihkan risalah dan buah kurma dengan lebih cepat. Ini adalah misi pertama kami dan Insyaallah Pemuda Pas Kuantan bersama Unit Amal Negeri Pahang dan kerjasama dari Pemuda Pas dari kawasan yang lain akan mengedarkan juadah untuk berbuka dan kad raya kepada mereka yang bermusafir ke destinasi yang tertentu".

Ust Fadhli Ibrahim, Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Kuantan berkata " InsyaAllah bukan hanya bulan puasa sahaja kita akan turun bertemu masyarakat,bahkan kedepan ini kita akan lebih kerap untuk turun menyantuni masalah pemuda-pemuda dan masyarakat. Sebelum dari ini kita juga pernah turun ke Taman Esplanade dengan mengedar makanan,minuman dan risalah anti zina, ianya akan diteruskan ".

KELANTAN SAMAN PETRONAS

KUALA LUMPUR, 30 Ogos — Kerajaan negeri Kelantan memfailkan saman terhadap syarikat petroleum nasional Petronas mendakwa tidak membuat pembayaran tunai terhadap hasil minyak diperoleh dari luar pesisir pantai Kelantan.

Menurut kerajaan negeri Kelantan, tindakan Petronas itu bukan sahaja melanggar undang-undang sedia ada, tetapi juga mendakwa bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kes difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sekitar pukul 9.25 pagi tadi.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri memfailkan writ saman di Bahagian Pendaftaran Dagang, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta.

Kemudian beliau dan barisan Exco Kerajaan Negeri menuju ke Masjid Wilayah Persekutuan untuk menunaikan solat hajat.

Kerajaan Kelantan mengambil keputusan muktamad pada 25 Ogos lalu untuk mengemukakan saman terhadap Petronas pada hari ini berhubung tuntutan royalti minyak yang diperoleh dari perairan negeri itu.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata, kerajaan negeri akan mengemukakan writ saman itu di Mahkamah Tinggi Jalan Duta.

Husam berkata, dalam kes saman itu kerajaan negeri tidak menetapkan jumlah tuntutan yang dibuat dan terserah kepada mahkamah yang akan menentukannya.

Writ saman itu dikemukakan atas nama Petronas dan bukannya kerajaan Malaysia.( Sumber dari www.dppwm.blogspot.com )

ISU BUKAN ISLAM MASUK SURAU : TEO NIE RUJUK MURSYIDUL AM PAS

Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching mengadakan pertemuan dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari bagi mendapatkan pandangan mursyidul am PAS itu berhubung isu kunjungannya ke Surau Al-Huda, Kajang 22 Ogos lalu.

Pertemuan itu berlangsung di Rumah Kelantan di ibunegara selepas menteri besar dan delegasi kerajaan Kelantan memfailkan saman terhadap Petronas di Mahkamah Tinggi Dagang Kuala Lumpur, di Jalan Duta.

Menurut Harakahdaily, selepas pertemuan itu, Nie Ching berkata, beliau gembira dapat bertemu dan mendapat pandangan mursyidul am PAS itu.

"Tok Guru jelaskan kepada saya bahawa dari segi Islam bukan menjadi satu isu orang Islam masuk ke surau atau masjid.

"Dia beritahu sebenarnya pada zaman Nabi Muhammad SAW, orang bukan Islam selalu masuk masjid untuk bertemu Nabi," katnya menjelaskan isi pertemuan.

Menurutnya, dalam pertemuan itu juga, Tuan Guru memberitahunya bahawa yang menyempitkan pemahaman berhubung isu bukan Islam kunjungi masjid adalah Umno.

Teo mengunjungi Surau Al-Huda, Kajang Sentral untuk menyampaikan bantuan membaiki pagar surau tersebut dan dijemput jawatankuasa surau untuk menyampaikan ucapan ringkas.

Insiden itu bagaimanapun dieksploitasi media arus perdana dan Umno dengan mendakwa ia satu kesalahan dan mencemar imej Islam.

Berikutan itu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah mengambil alih pengurusan surau tersebut dan akan memberi surat amaran kepada Teoh.

IDEA PERKASA LARANG BUKAN MUSLIM BERCANGGAH SURUHAN ISLAM

Sumber dari : www.lpdn28.blogspot.com

KUALA LUMPUR, 30 Ogos — Cadangan Perkasa yang mendesak agar undang-undang khusus digubal bagi melarang bukan Islam daripada memasuki kawasan masjid dan surau bertentangan dengan perintah Islam, kata dua komponen Pakatan Rakyat (PR) hari ini.

“Apa hak Perkasa mahu undang-undang digubal bagi melarang orang bukan Islam memasuki kawasan masjid dan surau?

“Dalam Islam sendiri tidak melarang. Adakah Perkasa mahu mencabar perintah agama?” kata Ketua Dewan Ulama PAS pusat Datuk Harun Taib kepada The Malaysian Insider.

Perkasa, pertubuhan bukan kerajaan Melayu, pimpinan Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali semalam menggesa agar undang-undang digubal melarang bukan Islam memasuki masjid dan surau.

Ibrahim turut menuduh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menjalankan tanggungjawabnya sepenuhnya dengan mempertahankan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching yang mengunjungi Surau Al-Huda di Kajang, Ahad lalu.

Bagi Nik Aziz, tindakan Teo tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam.

Mengulas lanjut, kata Harun, tindakan melarang orang bukan Islam daripada memasuki masjid dan surau akan menyekat mereka untuk mendekati dan memahami Islam.

“Bagi saya orang bukan Islam boleh memasuki kawasan masjid dan surau, Islam tidak melarang. Yang penting mesti berpakaian sopan.

“Ibrahim hanya pandai cakap sahaja... beliau sendiri pun tidak tahu apa yang dicakapkan,” katanya.

Beliau turut membidas Ibrahim kerana mengatakan Nik Aziz kurang bertakwa kerana mempertahankan Teo yang menyampaikan sumbangan dan ucapan di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral pada Ahad lalu.

“Saya rasa beliau (Ibrahim) sendiri tidak tahu apa makna takwa, kalau beliau tahu sudah pasti beliau tidak akan cakap.

“Lagipun siapa beliau untuk menilai seseorang itu bertakwa atau tidak, beliau bukan Tuhan nak tentukannya,” katanya.

Harun menjelaskan takwa bermaksud seorang umat Islam itu mengikut perintah agama dan meninggalkan larangannya tetapi yang boleh menilainya hanya Allah.

“Sebagai orang Islam kita perlu ikut perintah Allah dan segala larangan perlu ditinggalkan.

“Kalau Allah suruh kita solat kita kena buat dan kalau Allah larang kita minum arak jangan buat.

“Malah hanya Allah sahaja yang menentukan seseorang itu bertakwa atau tidak, bukan orang lain termasuk Ibrahim,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan PKR, Dr Muhd Nur Manuty juga berpendapat cadangan sedemikian bertentangan dengan suruhan Rasulullah yang membenarkan bukan Islam memasuki masjid dan surau.

“Tidak salah bagi bukan Islam untuk memasuki masjid, Nabi Muhammad pun membenarkan perkara ini. Yang penting, mereka yang memasuki masjid atau surat berpakaian sopan dengan menutup sedikit aurat mereka... tiada masalah, mengapa perlu menghalang,” kata beliau ketika dihubungi.

Sambil menolak cadangan sedemikian, kata beliau, sikap terbuka di kalangan rakyat berbilang kaum boleh menyelesaikan masalah sedemikian.

“Kalau kita bersikap terbuka, kita boleh menyelesaikan masalah ini... bukan Islam boleh datang ke masjid, malah program boleh diadakan di bawah khemah di luar dewan solat dan sebagainya.

“Mengapa isu ini hendak digembar-gemburkan sehingga mencetuskan konflik antara kaum negara ini?” kata beliau.

GAMBAR YANG MEMBUATKAN UMNO & PERKASA TAK LENA TIDUR

KM Lim Guan Eng di majlis berbuka puasa di Masjid Tmn Tun Sardon, Gelugor, Penang, bersama YB Rayer,Ustz. Shobri Arshad,Tn Hj Ali.
 
Gambar ehsan dari : www.dppwm.blogspot.com
 

Saturday, August 28, 2010

HUKUM MASUK MASJID SELAIN MASJIDIL HARAM

Sumber dari :  www.dppwm.blogspot.com
Imam Ibn Hajar Al-‘Asqolani ketika menghuraikan isu ini mengatakan mazhab Maliki tetap MELARANG bukan Islam memasuki masjid manakala Mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi membenarkan bukan Islam untuk memasuki masjid-masjid lain dengan syarat-syarat tertentu. Beliau juga menegaskan kebenaran ini cukup kuat dari dalil tawanan perang bernama Thumamah tersebut.
Imam Nawawi menghuraikan :
وفي هذا جواز ربط الأسير وحبسه وجواز إدخال المسجد الكافر ومذهب الشافعي جوازه بإذن مسلم سواء كان الكافر كتابيا أو غيره وقال عمر بن عبد العزيز وقتادة ومالك لا يجوز
Ertinya : Melihat kepada hadis ini, harus hukumnya mengikat tawanan dan menahannya serta harus juga seorang yang bukan Islam untuk memasuki masjid. Mazhab Syafie : menyatakan keharusannya dengan syarat terdapat keizinan dari umat Islam sama ada kafir itu dari kalangan ahli Kitab atau selainnya. Namun Khalifah Umar bin Abd Aziz, Qatadah dan Imam Malik tidak mengharuskannya. (Syarah Sohih Muslim, 12/87)
Selain yang diatas, anak murid Imam Syafie yang utama iaitu Al-Muzani juga berbeza ijtihad dengan gurunya, beliau menyatakan TIDAK HARUS bukan Islam memasuki masjid apatah lagi menetap di dalamnya, kerana jika mereka dibenarkan, sudah tentu orang yang berjunub juga akan dibenarkan. Sedangkan ayat di atas menyebut larangan bagi mereka yang berjunub memasuki masjid kecuali lalu sahaja.
Al-Mawardi memetik kata Al-Muzani iaitu :-
لأنه لو جاز ذلك له لكان الجنب المسلم أولى به لموضع حرمته وتشريفه فلما لم يجز للمسلم المبيت فيه كان المشرك أولى
Ertinya : Sekiranya harus (bagi bukan Islam masuk masjid), sudah tentu muslim yang berjunub lebih utama untuk dibenarkan disebabkan kehormatannya dan kemuliaannya, maka di ketika TIDAK HARUS bagi seorang Muslim menetap di dalamnya, maka tentulah bukan Islam lebih lagi dilarang (kerana mereka dikira sentiasa berjunub) ( Al-Hawi Al-Kabir, 2/268)
Imam Al-Mawardi As-Syafie membawakan pula teks kata-kata Imam Syafie dalam hal ini iaitu :-
ولا بأس أن يبيت المشرك في كل مسجد إلا المسجد الحرام
Ertinya : Tiada masalah untuk seorang bukan Islam menetap di setiap masjid kecuali masjidil Haram. ( Al-Hawi Al-Kabir, 2/268)
KESIMPULANNYA
Majoriti ulama bersepakat bukan Islam TIDAK BOLEH MEMASUKI masjidil haram, namun dengan agak ketara mereka berbeza ijtihad dalam menentukan hukum bagi masjid-masjid yang lain.
Namun demikian, majoriti ulama silam dan kontemporari dilihat mengharuskan bagi masjid-masjid biasa dengan syarat-syarat tertentu seperti :-
  • 1)    Mestilah dengan izin umat Islam atau badan berkuasa Islam bagi masjid berkenaan.
  • 2)    Mestilah mempunyai sebab yang munasabah untuk memasukinya sama ada untuk mendengar penerangan berkenaan Islam, mendaftar sesuatu, bertanya, melihat dan mempelajari cara ibadah umat Islam dan yang seumpamanya.
  • 3)    Mereka mestilah menghormati seluruh keadaan dan alatan masjid, tidak membuat kebisingan dan memakai pakaian yang sesuai seperti menutup aurat bagi wanitanya yang izin memasuki masjid.
Jika ada yang ingin memberikan pandangan sila kemukakannya di ruangan komen. Mungkin ada bijak pandai agama yang mempunyai pandangan yang berbeza dalam hal ini. Namun, meletakkan haram kepada bukan Islam memasuki masjid amat-amat memburukkan imej Islam walaupun penjelasan pautan di atas tidak menjurus ke arah itu.

ISU MASUK MASJID : TOK GURU PERTAHAN YB TEO NIE CHING

ISU MASUK MASJID : TOK GURU PERTAHAN YB TEO NIE CHING

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mempertahankan tindakan anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Ahad lepas.

Menteri Besar Kelantan itu berkata tindakan anggota Parlimen tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam.

“Tidak salah orang bukan Islam termasuk wanita masuk dalam masjid sama ada untuk berucap atau apa sahaja asalkan berpakaian sopan bagi bukan Islam dan menutup aurat bagi orang Islam,” kata Nik Aziz (gambar) kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Anggota Parlimen DAP itu yang menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat utama surau terbabit.

Tindakan Teo itu menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan Majlis Agama Islam Selangor menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pengurusan surau tersebut.

Mengulas lanjut, Nik Abdul Aziz berkata tindakan itu dilihat ganjil kerana umat Islam sekarang terlalu jahil dengan agama sedangkan pada zaman Nabi Muhammad SAW baginda mengajak orang kafir Quraisy tinggal di dalam masjid termasuk dibenar tidur, makan dan minum.

“Cuma apa yang dilihat (benda) itu sebagai pelik di zaman ini menunjukkan umat Islam kita terlalu jahil dengan agama,” katanya.

Nik Abdul Aziz sebelum itu hadir berbuka puasa dan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 174 penghuni rumah anak yatim Puteri Harapan Taman Sabariah. — Bernama

Wednesday, August 18, 2010

IJTIMAK TARBAWI DEWAN PEMUDA PAS PUSAT DI MASJID RUSILA

Ribuan Pemuda PAS akan berkumpul di Masjid Rusila di Marang pada 1 hingga 3 Oktober ini bagi membincangkan persediaan menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Azman Shapawi Abd Rani berkata dijangkakan sekurang-kurangnya 6,000 akan berkumpul di masjid yang diasaskan oleh presidennnya Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.

"Ia akan melibatkan Pemuda PAS seluruh Malaysia," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur pagi ini.

Azman Shapawi berkata, Murysidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat dan wakil gerakan Islam daripada luar negara dijadual turut hadir menyertai perhimpunan yang dinamakan sebagai "Ijtimak Tarbawi" (Perkampungan Tarbiah).

Program tersebut diputuskan dalam mesyuarat dewan itu petang semalam, tambahnya.

Dalam tempoh menghadapi pilihan raya umum ke-13, Azman Shapawi berkata pihaknya akan mengadakan satu lagi perhimpunan besar-besaran pada tahun depan bagi tujuan yang sama.

Katanya, dalam perhimpunan di Kedah, dijangka pada Mac, seramai
puluhan ribu anggota Pemuda PAS akan hadir.

"Selepas Mac tahun depan, dijangkakan musim untuk (persediaan) pilihan raya," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Terengganu.

Katanya, tindakan itu bagi melaksanakan arahan daripada Pejabat Agung parti yang menjangkakan pilihan raya umum akan dilaksanakan antara April hingga Julai depan.

"Selepas raya (Aidilfitri),dijangka bulan 10, 11 tahun ini, DUN Sarawak dibubarkan." kata Azman Shapawi.

Sementara itu, beliau juga mengumumkan keputusan mesyuarat bulanan dewan itu semalam yang menerima perletakan jawatan setiausahanya Kamaruzzaman Mohamad.

Tempatnya digantikan oleh Ketua Pemuda PAS Johor Kharil Faizi Ahmad Kamil. (Sumber Malaysiakini.com)

Tuesday, August 17, 2010

11 AJK PEMUDA UMNO BAHAGIAN ALOR SETAR LETAK JAWATAN

Sebelas ahli jawatankuasa Pemuda Umno bahagian Alor Setar telah meletak jawatan berkuatkuasa 7 Ogos lepas dengan alasan tidak berpuas hati terhadap pucuk pimpinan bahagian kerana meminggirkan peranan pergerakan itu selepas pilihan raya umum 2008.

Mereka terdiri penolong setiausaha, Mohd Azreen Azizan, selain Noor Baidurzaman Abu Bakar, Mohamed Shajahan Mohd Abdul Kader, Elias Haron, Mohamad Roshidi Marzuki, Wira bin Abdullah, Ahmad Faiz Abdul Halim, Mohd Zahir Abu Bakar, Ros Mahadi Hashim, Che Nat Said dan Mohd Shaharudin Manaf.

“Kami tidak mahu mengkhianati parti dan atas sebab ini kami merasakan tidak lagi boleh melaksanakan tanggungjawab dan sewajarnya kami meletak jawatan bagi membolehkan AJK baru dilantik,” kata Mohd Azreen kepada pemberita.

Beliau menafikan kenyataan Ketua Bahagian Umno Alor Setar, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah, yang mendakwa tidak mengetahui punca sebenar peletakan jawatan mereka.
Katanya mereka telah beberapa kali bertemu dan berbincang dengan Ahmad Bashah, yang juga Timbalan Pengerusi Umno Kedah, tetapi perkara yang dibangkitkan tidak pernah selesai.

Mohd Azreen berkata mereka telah menghantar surat peletakan jawatan kepada ibu pejabat Umno  pada 10 Ogos lepas dan salinan kepada kepada Umno negeri.
Katanya mereka akan terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. — Bernama

Sunday, August 15, 2010

KELANTAN BAYAR GAJI PAKAI DINAR

Selepas empat tahun Dinar Kelantan dilancarkan, kerajaan negeri itu memperkenalkan mata wang syariah — emas dinar dan perak dirham.
 

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata adalah menjadi hasratnya untuk melihat Kelantan mempelopori penggunaan mata wang syariah dalam semua urusniaga, termasuk membayar gaji kakitangan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, kata beliau masih banyak soal teknikal yang perlu diatasi oleh kerajaan negeri sebelum dapat melaksanakannya.


“Kita bercadang mengamalkan semua urus niaga dan membayar gaji kakitangan menggunakan mata wang syariah iaitu dinar emas dan dirham ini secara menyeluruh tidak lama lagi,” kata beliau kepada pemberita selepas majlis pelancaran dinar emas di sini, hari ini.


Dinar emas dan dirham itu dikendalikan oleh Kelantan Gold Trade (KGT) iaitu anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).


Simbolik kepada majlis pelancaran itu, Nik Abdul Aziz menyerahkan dinar emas kepada Ketua Pegawai Eksekutif PMBK, Ir Mustapha Salleh bagi pembayaran gaji kepada kakitangannya untuk bulan ini.


Pada majlis perasmian terbabit Menteri Besar melakukan gimik pelancaran dengan menyimpan dinar dan dirham ke dalam sebuah mesin untuk simpanan Tabung Haji.


Pada 2006 kerajaan negeri melancarkan Dinar Kelantan dalam tiga bentuk iaitu satu dinar penuh berukuran 23mm dengan berat 4.25 gram bernilai RM332.25.


Selain itu separuh dinar bersaiz 20mm (1.06 gram) bernilai RM176.76) dan suku dinar bersaiz 21mm (0.5 gram) bernilai RM99.38.


Dinar tersebut mendapat sambutan menggalakkan untuk simpanan nilai dan mas kahwin.
 

Nik Aziz yang juga Pengerusi PMBK berkata, sehingga ini lebih 1,000 peniaga bersetuju menggunakan emas dinar dan dirham sebagai mata wang alternatif untuk berurus niaga di premis mereka. Sumber dari : ( www.dppkwm.blogspot.com )

Assalamualikum

Assalamualikum WBT...selamat datang ke blog Dewan Pemuda Pas Negeri Pahang