Sunday, October 2, 2011

DAP tolak Hudud tetapi terima PAS. UMNO tolak Hudud dan tolak PAS


KEPALA BATAS, 2 Sept[HD]: Perbezaaan pandangan berhubung perlaksanaan undang-undang Islam khususnya hudud tidak bermakna DAP putus kerjasama dengan PAS.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan, DAP tetap akan bekerjasama dengan PAS kerana masih banyak persamaan dalam memperjuangkan keadilan untuk rakyat khususnya melawan BN.

Bercakap sewaktu menyampaikan pidato di program rapat umum sempena Kongres 60 Tahun PAS di sini malam tadi, Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga secara tegas menyatakan mereka juga tidak akan bersama Umno biarpun Umno juga sama pendirian dengan DAP menolak perlaksanaan hudud.

"Pimpinan DAP jelas kita tak setuju dengan hudud. Umno pun tak setuju dengan hudud. Tetapi tak kan kerana DAP tak setuju Umno tak setuju, DAP dan Umno nak kerjasama.

"Kita terus akan bekerjasama dengan PAS kerana kita masih banyak persamaan. Kita sama-sama lawan rasuah, sama-sama lawan kebatilan, sama-sama lawan BN," tegasnya disambut tepukan dan laungan takbir hadirin.

Dalam majlis itu dianggarkan lebih 20 ribu hadirin hadir dan duduk bersila memenuhi ruang dalam dan perkarangan Dewan Milenium.

Dalam mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat minggu lalu, kesemua parti komponen PAS, PKR dan DAP menyatakan persetujuan bersama memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu.

Mereka juga menghormati pendirian PAS untuk mengangkat isu hudud dan membincangkannya agar difahami oleh masyarakat.

Pada masa yang sama, mereka juga menghormati pendirian DAP yang tidak bersetuju dengan perlaksanaan hudud kerana bertentangan dengan perlembagaan.

Keputusan bersama itu sekaligus didakwa menggagalkan rencana Umno BN memecah belahkan parti-parti dalam Pakatan menggunakan isu hudud yang selama itu dianggap senjata ampuh mereka.

"Kita (DAP) ditubuh untuk bela perlembagaan bukan lawan perlembagaan. Sama juga kita bukan mahu lawan Islam tetapi kita mahu lawan Umno, MCA, MIC dan BN," katanya.

Turut menjadi pemidato dalam majlis malam tadi adalah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.
 
http://www.ustazcyber.com

No comments:

Post a Comment