Wednesday, April 27, 2011

WARGA UUM PENGGUNA AIR TERTINGGI DI DUNIA ?

ALOR SETAR, 25 April – Secara purata seorang rakyat Malaysia menggunakan 230 gelen air sehari dan seorang rakyat Kedah menggunakan 250 gelen air sehari. Namun secara purata seorang warga Universiti Utara Malaysia (UUM) menggunakan 340 gelen air sehari!

Demikian didedahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman (SADA) Dato’ Azdmi Din dalam sidang media di pejabatnya berhubung kajian yang dibuat oleh syarikat air itu terhadap UUM.


Menurutnya, berlaku pembaziran sebanyak 462 ribu gelen air sehari di Universiti Utara Malaysia (UUM) dari air yang dibekalkan oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) dan kuantiti itu adalah terlalu tinggi.


Menurutnya, pengiraan dibuat secara teknikal berdasarkan jumlah pengguna sebenar dan mengukur tahap jumlah air yang sepatutnya dibekalkan.


“Maknanya warga UUM berjumlah 33,037 jiwa itu memerlukan air sehari secara normalnya hanya 8 juta liter padu sahaja sedangkan hari ini mereka secara purata setiap orang menggunakan 340 gelen sehari berbanding penduduk Kedah secara normal menggunakan 250 gelen dan penduduk Malaysia sebanyak 230 gelen sahaja sehari,” katanya.


Menurutnya, anggaran penggunaan yang efisien di UUM yang diperlukan kampus itu cuma berjumlah 8,260 juta liter padu sehari. Ia sudah mencukupi untuk penggunaan normal tanpa mengambil kira penyusutan (non revenue water) disebabkan kebocoran paip.


Katanya, oleh kerana pihak UUM mengatakan mereka memerlukan air lebih, biarlah isu ini dibincang dari aspek pembaziran penggunaan.


Katanya, SADA menghormati institusi ini sebagai universiti yang terkenal di Utara dan dengan ikhlasnya menghulurkan kerjasama berikutan UUM merupakan pengguna air terbesar di Kedah.


“Kita akan bekerjasama untuk melihat apa-apa kelemahan yang ada di UUM. Kita cari jalan tengah perbalahan tidak akan menyelesaikan apa-apa,” katanya.


~WARTA KEDAH~

No comments:

Post a Comment