Friday, September 9, 2011

KENYATAAN AKHBAR : Pemuda PAS Pahang bantah cukai pra-bayar 6



KUANTAN, 9 September: Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang membantah kenaikan cukai caj pra-bayar sebanyak enam peratus yang akan dikuatkuasakan mulai 15 September ini kerana rakyat sudah menderita dengan kenaikan harga barang.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang, Ustaz Fadhli Ibrahim dalam kenyataan medianya menyebut, ini bermakna seorang pengguna telefon pra-bayar yang membeli tambahan kredit (top up) RM10.00, beliau perlu membayar sebanyak RM10.60.

“Tidak sepatutnya kerajaan meluluskan permintaan syarikat-syarikat telekomunikasi ini, di saat rakyat pada hari ini bergelumang dengan penderitaan kenaikan harga barang, bil elektrik dan sebagainya tiba-tiba dibebankan lagi dengan cukai pra-bayar ini.

“Sedangkan kita semua sedia maklum bagaimana syarikat-syarikat telekomukasi ini meraih keuntungan yang sangat besar pada setiap tahun”.

Tambahnya lagi, cuba bayangkan sebanyak 80 bilion SMS dan MMS yang telah dihantar oleh pengguna telefon bimbit dengan kadar RM18 juta setahun dengan pengguna seramai 25 juta orang ( tahun 2007), manakala kos iklan syarikat-syarikat ini pada setiap tahun bernilai RM100 juta-RM300 juta.

“Ini bererti syarikat-syarikat tersebut meraih keuntungan yang sangat besar pada setiap tahun jadi kenapa kerajaan lebih mementingkan keuntungan mereka sedangkan dalam masa yang sama rakyat bawahan yang menggunakan telefon yang sebagai bahan keperluan masa kini terus tertindas,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Pahang berkata, kerajaan perlu sedar bahawa pengguna telefon bimbit ini bukan hanya di kalangan orang-orang yang berada, tetapi juga golongan marhaen seperti petani, pekerja kilang, pelajar sekolah, nelayan dan ramai lagi.

“Sekiranya bantahan dari pelbagai pihak ini tidak dilayan bererti kerajaan hanya menjaga kepentingan ahli-ahli korporat dan syarikat-syarikat telekomunikasi ini dengan menutup mata kesusahan yang sedang ditanggung rakyat.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang mengingatkan kepada kerajaan supaya meneliti semula skim kenaikan ini yang boleh membebankan rakyat terbanyak, sekiranya bantahan ini tidak diendahkan kita akan bergerak dengan lebih agresif bersama-sama NGO untuk menerangkan perkara ini kepada rakyat,” tambahnya.

No comments:

Post a Comment