Wednesday, September 28, 2011

Tuan Guru Nik Aziz Jamin Hudud Hanya Untuk Umat Islam


Ini kenyataan terbaru Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dalam laman Facebooknya mengenai penjelasan berkenaan hukuman hudud:

I guaranty if hudud punishment is being implemented in Kelantan, it would not take effect upon the non-Muslims because this punishment only governs Muslims.

(Saya beri jaminan jika hukuman hudud dilaksanakan di Kelantan, ia TIDAK akan melibatkan rakyat bukan Islam kerana hukuman tersebut [hudud] HANYA terpakai kepada orang Islam)

Jelas dan terang kini, wahai pencacai Umno-APCO??

JALAN PULANG


Dilihat sebagai usaha berterusan mahu meyakinkan bukan Muslim, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini memberi “jaminan” undang-undang hudud jika dilaksanakan tidak akan dikuatkuasakan ke atas bukan Islam.

Mursyidul Am PAS ini berkata undang-undang itu yang diusahakan sejak 17 tahun lalu untuk dilaksanakan di Kelantan hanya meliputi masyarakat Islam.

“Saya memberi jaminan jika hukum hudud dilaksanakan di Kelantan, ia tidak akan dikuatkuasakan ke atas bukan Islam sebab hanya meliputi umat Islam,” kata Nik Aziz dalam mesej menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Ia merupakan mesej ketiga daripada Nik Aziz sepanjang satu minggu ini, yang dilihat mahu meyakinkan bukan Islam mengenai hukum hudud.

Pendirian itu diketengahkan pada hari kepimpinan Pakatan Rakyat bersiap sedia untuk mengadakan mesyuarat berhubung isu tersebut selepas DAP dan PAS bertembung dan bertegas dengan pendirian masing-masing.

Mesyuarat Pakatan Rakyat akan berlangsung di ibu pejabat PAS di sini, malam ini.

Pada 24 September lalu, Nik Aziz meminta bukan Muslim memberi pandangan jujur sama ada mereka akan bersetuju jika undang-undang itu dilaksanakan.

“Perbincangan terbuka, kepada rakan-rakan bukan Islam yang dihormati, adakah anda akan bersetuju jika hukumam hudud dilaksanakan?

“Sila berikan pandangan anda mengenai perkara ini, tanpa prejudis, sentimen politik dan emosi,” kata Menteri Besar Kelantan dalam mesej terdahulu.

Kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS berusaha untuk melaksanakan undang-undang ini sejak awal 1990-an tetapi tersekat ekoran amaran kerajaan pusat yang disampaikan pada 1994 ketika pentadbiran Mahathir.

Isu itu berkembang semula sebagai kontroversi minggu lalu Nik Aziz menegaskan beliau lebih rela jika DAP mahu keluar dari Pakatan Rakyat jika tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam.

Sebelum ini Nik Aziz berkata, beliau akan tetap dengan pendiriannya untuk menegakkan hukum hudud dan penubuhan negara Islam walaupun mendapat tentangan hebat daripada rakan sekutunya itu.

Kata beliau, tiada sesiapa pun termasuk DAP berhak menolak hukum hudud selagi semua manusia menumpang di bumi Allah ini dan hukum Islam yang mahu ditegakkan itu adalah kerana ia hukum Allah, bukannya manusia.

Nik Aziz berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh bahawa parti itu tetap menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud kerana ia bertentangan sama sekali dengan Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan satu kenyataan minggu lalu, Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau secara peribadi menyokong pelaksanaan hukum hudud, tetapi ia tidak dibincangkan oleh Pakatan Rakyat.

Minggu lalu, Nik Aziz menolak pandangan bekas mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa keadaan negara ketika ini tidak kondusif untuk melaksanakan hukum hudud itu. 
 
 http://jalanpulang1978.blogspot.com

No comments:

Post a Comment