Sunday, January 23, 2011

10 0RANG BERDEMO DI KAWASAN MB KELANTAN..SAH PETANDA PILIHANRAYA SEMAKIN HAMPIR

Demo 10 orang petanda p’raya umum sudah dekat
 
PENGKALAN CHEPA, 23 Jan: Demonstrasi yang hanya dihadiri oleh 10 orang masyarakat kampung termasuk beberapa orang luar dari Kampung Sabak berhubung kerosakan jalan di situ petanda pilihan raya umum tidak lama lagi.

Pegawai Khas Adun Chempaka, Hassan Mamat, ketika dihubungi memberitahu, perhimpunan aman yang berlaku di kampung berkenaan juga bertujuan untuk memburukkan imej Adun Chempaka, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga Menteri Besar Kelantan.

Hasan berkata, demonstrasi aman yang dilaporkan oleh beberapa buah akhbar harian hari ini berhubung kerosakan jalan berkenaan hanya berunsur fitnah.

“Jalannya tidak rosak teruk sebagaimana yang digambarkan oleh media, sebaliknya hanya berlaku kerosakan kecil sepanjang 500 meter.

“Ianya juga berlaku akibat kenderaan berat yang membawa cerucuk besi keluar masuk untuk pembinaan Sekolah Kebangsaan Pulau Gajah,” ujarnya.

Katanya, jalan berkenaan tidak seteruk sebagaimana yang digambarkan, memandangkan ianya telah dibaiki awal tahun lalu.

Pada masa yang sama, menurutnya saluran air paip AKSB rosak menyebabkan jalan turut terjejas.

Beliau juga turut menafikan beberapa buah laporan akhbar harian hari ini yang mendakwa demonstrasi aman itu ada yang dihadiri 50 orang atau 2,000 malah 10,000 orang.

Tegasnya lagi, bagaimana kehadiran peserta demonstrasi sehingga 10,000 sedangkan pengundi hanya 1,000 sahaja.

Beliau juga tidak menolak demonstrasi berkenaan dianjurkan oleh pihak tertentu dengan tujuan untuk memburukkan imej Tuan Guru.

Katanya, beliau sendiri telah meninjau perkembangan jalan terbabit bersama Setiausaha Sulit Menteri Besar, Rosdi Abdullah.

Hassan bagaimanapun mengucapkan terima kasih pada pihak Jabatan Kerja Raya kerana telah membaiki jalan di Pulau Gajah.

No comments:

Post a Comment