Wednesday, March 9, 2011

KERDAU - KISAH TETAMU YANG DITIPU DAN DIKHIANATI


wfauzdin_ns
DI DALAM kehangatan kempen PRK Dun Kerdau baru-baru ini, kita digemparkan dengan berita kemasukan bekas Ketua cawangan Umno Jengka 25, Muzammil Mualip yang menyerahkan borang menyertai PAS bersama 11 lagi rakannya pada 01 Mac yang lalu.

Kemasukan beliau ke dalam PAS kita raikan dan disyukuri walaupun kita tahu kemasukannya bukan menjadi satu laluan mudah untuk PAS memenangi PRK tersebut kerana penghalang yang lebih besar menanti di situ iaitu umpan dan sogokan kepada pengundi-pengundi.

Namun, sebagai sebuah parti yang sentiasa menjalankan usaha dakwahnya maka kemasukan beliau kita syukuri dan kita raikan sebagai penambah semangat kita di PRK tersebut. PAS tidak memaksa atau mengugut beliau, jauh sekali untuk memberikan apa-apa habuan kepada Muzammil dan rakan-rakannya. Sebagai meraikannya, PAS memberi penghormatan terhadapnya dengan Presiden PAS sendiri Tuan Guru Hj Hadi bersama Pesuruhjaya PAS Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man datang ke rumahnya untuk menerima borang penyertaan ke dalam PAS.

Terlalu istimewa kita raikan beliau, dan saya percaya mungkin tidak ramai ahli-ahli PAS yang mendapat layanan istimewa seperti itu. Siapa di antara kita yang memasuki PAS yang Presiden PAS sendiri terima borang kita di rumah kita sendiri? Oleh kerana ketika itu PAS sedang berdepan dengan situasi getir berdepan dengan seluruh jentera kerajaan, maka Presiden PAS bersedia hadir ke rumah beliau menandakan keikhlasan PAS menerimanya sebagai jemaah.

Amat menyedihkan, selang tiga hari lebih kurang Muzammil kembali `rujuk' kepada Umno. Mengapa Muzammil tergamak bermain politik semurah itu? Mengapa tergamaknya beliau mengkhianati Tuan Guru Hj Hadi dan Tuan Ibrahim Tuan Man yang pernah menjejakkan kaki ke rumahnya sebagai tetamu? Kita tidak sedih jika beliau tidak mahu bersama PAS tetapi mengapa cara itu beliau lakukan? Bukankah jelas itu merupakan satu cara terancang untuk memalukan PAS terutamanya Tuan Guru Hj Hadi?

Mustahil Muzammil keluar PAS kerana tidak setuju dengan dasar PAS kerana di dalam masa tiga hari mana mungkin Muzammil boleh mengenali PAS secara mendalam. Sebenarnya beliau telah merancang itu semua dan beliau sanggup menjadikan rumahnya sebagai saksi pengkhianatannya terhadap PAS. Sedikit pun beliau tidak menghargai kedatangan Tuan Guru Hj Hadi dan Tuan Ibrahim Tuan Man ke rumahnya, sebaliknya beliau sanggup menipu demi untuk memalukan PAS sekaligus kemenangan moral buat Umno.

Perbuatan Muzammil pada saya adalah satu perbuatan yang jahat dan tidak bermoral. Adakah PAS merasa marah terhadap beliau? Tidak, malahan dengan sabar dan tenang Tuan Ibrahim Tuan Man menasihatkan ahli-ahli PAS agar tidak memusuhi Muzammil. Sepatutnya Muzammil tidak perlu berbuat demikian jika inginkan kemenangan buat Umno kerana Umno sudah cukup kuat dengan segala jentera kerajaan dan wang rakyat yang mereka curahkan di Kerdau. Tidak perlu melakukan perbuatan tidak bermoral seperti itu. Menipu di siang hari nescaya kehidupan orang seperti ini tidak aklan mendapat keberkatan.

Sekiranya beliau terasa rugi menyertai PAS setelah mendengar pengumuman wang tunai RM13 ribu itu akan dibayar selepas PRK, kita berharap Muzammil akan berbahagia dan senang dengan apa yang dihajati olehnya. PAS bukan parti senang lenang dan mungkin Muzammil tidak layak berada di dalam jemaah PAS. Buat kita yang menyokong perjuangan PAS teruskan perjuangan ini. Meski pun kita tewas, kita mesti bersyukur kerana kita tidak tergolong di dalam golongan orang yang memikirkan kebendaan duniawi yang sementara ini. Teruskan berjuang.
 

No comments:

Post a Comment