Tuesday, June 21, 2011

Ali dihukum penjara 35 tahun dan denda $81 juta



TUNIS: Mahkamah Tunisia kelmarin menjatuhkan hukuman penjara selama 35 tahun dan denda AS$66 juta ($81 juta) ke atas mantan Presiden Zine al-Abidine Ben Ali, selang enam bulan dia digulingkan dalam bantahan rakyat.

Ben Ali, bagaimanapun, tidak hadir di mahkamah dan kini hidup dalam buangan di Arab Saudi.

Dia didapati bersalah menggelapkan dana awam selepas barang kemas dan wang bernilai AS$27 juta ditemui di kediamannya.
Hukuman yang sama turut dijatuhkan ke atas isterinya, Leila Trabelsi.

Ben Ali masih menghadapi tuduhan memiliki dadah dan senjata, dengan hukuman bakal dijatuhkan pada 30 Jun ini.

Penggulingan Ben Ali pada Januari lalu mencetuskan tunjuk perasaan yang serupa di negara Arab lain dan membawa kepada penggulingan Presiden Mesir, Hosni Mubarak, sebulan kemudian.

Ben Ali dan isterinya melarikan diri ke Arab Saudi pada 14 Januari lalu.
Februari lalu, pemerintah Tunisia meminta Arab Saudi mengekstradisi Ben Ali tetapi sehingga kini tiada perkembangan lanjut mengenainya.

Semasa perbicaraan, pihak pendawa raya meminta hakim menjatuhkan 'hukuman paling berat ke atas mereka yang mengkhianati kepercayaan dan mencuri wang rakyat bagi kepentingan sendiri... Mereka tidak berhenti mencuri selama 23 tahun (memerintah).'

Peguam Ben Ali, Encik Akram Azoury, menyifatkan hukuman itu melucukan memandangkan yang tertuduh tidak hadir di mahkamah.

'Ini satu jenaka. Jenaka serupa ini tidak perlu diulas. Anda hanya ketawa saja,' katanya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh peguamnya, Ben Ali menafikan semua tuduhan yang dihadapinya dan menyifatkan dirinya sebagai mangsa komplot politik.
Dia turut menafikan berniat mendapatkan perlindungan suaka.

'Saya tidak meninggalkan jawatan saya sebagai Presiden, ataupun melarikan diri dari Tunisia, seperti yang silap dilaporkan oleh beberapa media... Saya ditipu agar meninggalkan Tunis,' katanya dalam kenyataan yang diedar oleh Encik Azoury.

Perbicaraan kelmarin merupakan permulaan proses yang mungkin menyaksikan pegawai kanan dalam rejim Ben Ali didakwa atas 93 tuduhan, termasuk membunuh, mendera, memindahkan wang secara tidak sah dan penyeludupan artifak purba.

Sebanyak 35 tuduhan itu telah dirujuk kepada Mahkamah Tentera.
Kesalahan membunuh atau mendera membawa kepada hukuman mati.

Namun, Ben Ali tidak dijangka berdepan dengan tuduhan serupa itu. -- AFP, AP, Reuters.
http://www.buletinonline.net

No comments:

Post a Comment