Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 20 Jun: Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini gamat seketika apabila Mat Yusof Abdul Ghani (BN-Nenggiri) yang berniat untuk mempertahankan akhbar Utusan dalam menyiarkan bahan tersasar.
Kenyataannya yang mendakwa tindakan akhbar terbabit mungkin bertujuan untuk mencari keuntungan ketika menyiarkan sebarang isu termasuk kes lucah yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, disambut dengan tepukan meja oleh pihak kerajaan.
Menurut Mat Yusof, adalah menjadi hak akhbar terbabit untuk menyiarkan apa sahaja bentuk berita.
Beliau berkata demikian ketika meminta laluan sewaktu Muhammad Mustapha (PAS-Demit) berucap menyokong perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2011, sempena Sidang Dun Kelantan, hari ini.
“Kita tidak boleh menyekat mereka, itu hak dia untuk menyiarkan apa saja dalam akhbarnya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian akibat tidak berpuas hati berhubung tindakan kerajaan negeri menghalang akhbar Utusan dari membuat sebarang liputan terutama sidang Dun Kelantan.
Bagaimanapun, Muhammad sewaktu mengulas kenyataan Adun Nenggiri itu memberitahu tindakan akhbar terbabit (menyiar fitnah dan gambar lucah) mendedahkan sifat akhbar terbabit kepada umum.
“Andainya Yang Berhormat mendakwa ia adalah hak mana-aman akhbar untuk menyiarkan sebarang isu atau seumpamanya, ianya juga menjadi hak kerajaan negeri untuk menghalang mana-mana pihak untuk membuat sebarang liputan.
“Kita tidak boleh berkata apa apabila menyentuh tentang hak, Allah dan Rasul juga ada hak, kita juga ada hak kita, tetapi jangan sekali-kali mencabul hak Allah dan Rasul termasuk memfitnah mana-mana individu,” ujarnya.
Beliau turut menasihatkan wakil BN supaya tidak membuat sebarang fitnah sekiranya ingin mendapatkan sokongan rakyat.
Menurutnya, rakyat hanya akan memilih perjuangan yang baik.
“Kalau kita (BN) merupakan perjuangan yang baik, tidak perlu kita membuat sebarang fitnah untuk mendapatkan sokongan rakyat, sudah tentu mereka akan menyokongnya,” ujarnya.
Abdul Latif Abdul Rahman (PAS-Mengkebang) bagaimanapun memberitahu, tindakan kerajaan negeri menghalang akhbar terbabit membuat liputan majlis kerajaan negeri termasuk kenyataan Menteri Besar bukan hanya masalah fitnah, sebaliknya menyiarkan kartun yang menghina Islam.
Katanya, boikot itu langsung tidak ada kaitan dengan Anwar, sebaliknya kerana menyiarkan kartun menghina Islam.
“Kita desak akhbar ini meminta maaf secara terbuka kerana sekiranya perkara itu dipertahankan ianya akan merosakkan akidah,” ujarnya.
Menurutnya, tidak ada sebab akhbar terbabit tidak boleh memohon maaf secara terbuka memandangkan tindakan itu melukakan hati umat Islam.
No comments:
Post a Comment