Sunday, June 19, 2011

“SAYA BUKAN MASUK ISLAM, TAPI MASUK USIA SAJA!”

Oleh : MUTALIB M.D


PENJELASAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa Mahkamah Syariah menerima 686 permohonan untuk murtad, termasuk 238 di Sabah ketika menjawab soalan bertulis Er Teck Hwa (DAP-Bakri), tidaklah begitu mengejutkan rakyat Sabah.


“Saya bukan masuk Islam, tetapi masuk Usia saja, ujar Haji Ghani Tenggiling (bukan nama sebenar) ketika saya ajukan soalan kenapa beliau berstatus Haji tetapi memelihara khinzir di bawah rumahnya di sebuah kampung di Nabawan, Pensiangan pada 1983 begitu mengejutkan saya ketika itu.

Untuk makluman, Usia ialah akronim kepada Pertubuhan Islam Seluruh Sabah, sebauh NGO yang dipertanggung jawabkan oleh Kerajaan USNO untuk mengIslamkan dan menyebarkan syiar Islam di kalangan kaum Pagan di Sabah selepas merdeka.

Menurut Haji Ghani, beliau bersama lebih 700 orang termasuk yang beragama Kristian yang lain telah dikumpul dan di ‘Usia’kan setelah membaca ayat tertentu dan diberi peluang melancong ke Mekah dan ramai yang mendapat kawasan konsesi pembalakan.

“Saya dan rakan tidak tahu apa itu Islam kerana tidak ada pihak yang betul-betul mengajar kami tentang Islam. Yang kami tahu kami hanya jadi Ahli Usia. Kami tidak tahu bezakan antara Usia dengan Islam sehinggalah saudara tanya,” ujar Haji Ghani yang telah kembali pagan dan ramai rakannya memeluk agama Kristian kerana menganggap Islam sukar diamalkan, terutama hidup di tengah belantara.

Imbauan kenangan silam terhadap Haji Ghani yang telah kembali kepada amalan asal dan ramai yang memeluk agama Kristian adalah satu fenomena serius dan sukar untuk diselesaikan dalam masa yang singkat kerana rakyat Sabah berpendapat ‘Tiada Agama Rasmi di Sabah.”

Undang-Undang Murtad yang digubal kerajaan sukar untuk dikuatkuasakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) kerana faktor politik, perlembagaan dan dibatasi adat budaya kerana membimbing mereka kembali ke agama Islam mungkin sudah terlambat.

Bukan sahaja kaum bumiputera Pagan yang diIslamkan ketika itu, malah ramai kaum Tiong Hua mengambil kesempatan untuk ‘Melancong’ ke Mekah dan mendapat konsesi pembalakan tetapi kini telah murtad sekalipun nama mereka bercirikan Islam.

Dalam kes tertentu, banyak kesilapan berlaku dan dilakukan oleh Jabatan Pendaftaran Negara Sabah kerana tersilap ‘MengIslam’ kaum Pagan dan beragama Kristian semata-mata berdasarkan nama mereka yang bercirikan nama penganut agama Islam seperti Zulkifli, Ghani, Mohd, Esmail dan sebagainya; men’tatoo’kan perkata Islam di atas MyKad mereka.

Akibatnya, ramai penganut agama Kristian atau Pagan terpaksa bergaduh dengan JHEAINS dan terpaksa mendapatkan perintah mahkamah untuk menuntut jenazah atau memindahkan mayat mendiang keluarga mereka yang meninggal dunia dan dikuburkan di Tanah Perkuburan Islam kerana di dalam kad pengenalan mereka mencatatkan perkataan ‘Islam’.

Dalam usaha yang semakin hampir ke hujung terowong masa, JHEAINS telah menubuhkan Pusat Pemulihan Akidah di Kinarut yang telah disiapkan baru-baru ini, namun mungkin agar sukar mengIslamkan kembali mereka yang telah murtad lebih 20 tahun lalu.

Walaupun Pengarah JHEAINS, Datuk Amri A Suratman berjanji akan mengamalkan pendekatan mendidik kepada pesalah syariah dan akidah, berbanding mengambil tindakan undang-undang, namun tidak dapat memadamkan rekod lebih 100,000 umat Islam (sejak 1970-an) di Sabah yang telah murtad untuk kembali mengamalkan ajaran Islam yang syumul.

Pelaksanaan Undang-Undang Murtad di Sabah kata Amri merupakan sebahagian daripada Pelan Strategik untuk lima tahun akan datang tetapi Amri mungkin tidak menjangkakan tindakan berkenaan mungkin bercanggah dengan Perlembagaan Negeri Sabah dan Perlembagaan Persekutuan.

Enigma pemberian kerakyatan secara songsang kepada warga asing termasuk Warga Filipina yang kuat mengamalkan ajaran Katholik di Sabah, merupakan ancaman baru kepada JHEAINS dan Kerajaan Malaysia kerana mereka tidak pernah menganut agama Islam dan hanya diberi kad pengenalan yang mencatatkan perkataan Islam dengan nama Mohd Yatim sedangkan nama asal mereka Fernando Legada.

Kumpulan yang di’Islam’kan oleh JPN ini semakin ramai berhijrah ke Semenanjung Malaysia terutama di Shah Alam dan Pulau Pinang membentuk koloni ‘Islam Baru’ yang boleh Makan Khinzir dan Minum Bir.

Perangkaan yang diberikan Jamil Khir hanya melibatkan permohonan yang difailkan ke mahkamah dan tidak ada siapa yang mempedulikan lebih 100,000 umat Islam yang murtad sejak di zaman Berjaya setelah USNO dibubarkan dan Usia mendapat pucuk pimpinan baru yang menyimpang daripada landasan perjuangan sebenar Usia.

P/S : Ni baru dikatakan "Mempergunakan Agama"
 
http://azmieyusoff.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment