Tuesday, September 28, 2010

APA YANG TAK KENA, KHALED DAN SAIFUDDIN BERTELAGAH...

KESILAPAN Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menyusun kabinetnya kini terserlah apabila berlaku beberapa pertelagahan antara menteri dengan timbalan menteri, sekaligus menunjukkan tidak ada persefahaman.
Paling ketara, hubungan 'tak mesra' ini antara Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Mohamad Khaled Nordin dengan timbalannya, Saifuddin Abdullah. Ia bukan baru tetapi sejak awal-awal lagi, apabila Saifuddin pernah mengumumkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan membangunkan Universiti Pertahanan di Pahang.

Kenyataan Saifuddin yang mendahului Menteri itu, kemudiannya dinafikan Mohamad Khaled, walaupun, Saifuddin kemudiannya mengatakan bahawa Kerajaan Negeri Pahang sudah meluluskan tanah untuk tujuan tersebut. Ia kemudiannya senyap begitu sahaja. 

Terbaru, Saifuddin yang nampaknya beria-ia bersetuju untuk membenarkan mahasiswa aktif berpolitik, tidak mendapat persetujuan Mohamad Khaled. 

Namun, dalam beberapa siri, Saifuddin yang pernah bertelagah dengan bekas Naib Cencellor UiTM, Tan Sri Ibrahim Abu Shah, tetap mempertahankan bahawa pelajar perlu dibenarkan berpolitik.

Pendirian Saifuddin disenangi PAS. Malahan, ada cadangan Saifuddin mahu dilantik mengetuai kaukus Parlimen mengenai isu ini tetapi baru-baru ini, Saifuddin yang dijadualkan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Pemuda PAS, menangguhkan hasrat tersebut, tanpa memberi apa-apa alasan. 

Isu yang diperjuangkan Saifuddin ini mendapat sokongan Ketua Pergerakan Pemuda Umno. Khairy Jamaluddin pernah mengeluarkan kenyataan mengenainya tetapi dibidas Mohamad Khaled yang mengatakan Pemuda Umno tidak perlu berkokok kerana isu itu boleh dibincangkan dalam Majlis Tertinggi (MT) Umno dan beliau, akan patuh jika Umno mengarahkannya.

Khairy Jamaluddin kemudiannya senyap. Tetapi, baru-baru ini, Saifuddin mengeluarkan kenyataan mengatakan Perdana Menteri bersikap terbuka mengenai isu ini, padahal, suatu ketika dahulu sudah ada pengumuman bahawa kabinet menolak cadangan tersebut.

Ramai yang tertanya-tanya, apakah Saifuddin lebih berkuasa dari Mohamad Khaled di KPT? Atau, PM bersikap talam dua muka, menolaknya ketika dibincangkan dalam kabinet tetapi menerimanya ketika berbincang dalam MT? Yang mana satu lebih betul? 

Adakah Saifuddin yang betul atau Mohamad Khaled yang betul? Kenapa PM Najib nampaknya membiarkan isu ini diperbahaskan secara terbuka, ketika kabinet sudah memutuskan untuk menolaknya? 

Inilah kelemahan Najib sebenarnya. Dia melantik menteri bukan dari kalangan MT dan timbalan menteri pula, salah seorang anggota MT. Satu ketika, Mohamad Khaled merasakan dia 'lebih besar' dari timbalannya tetapi, satu ketika lain, timbalannya merasakan dia lebih besar dari menterinya!

Kabinet Najib, isu timbalan menteri bertelagah dengan menteri sudah banyak kali berlaku. Dulu, pernah Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin membidas timbalannya, Dr Puad Zarkashi kerana bercakap mendahuluinya isu profesion perguruan perlu dilesenkan.

Dari kalangan menteri, Mohamad Khaled sebenarnya seorang yang boleh dianggap senior. Beliau tidak menduduki kerusi MT kerana kalah (dapat tempat ke empat dari tujuh calon) merebut salah satu dari tiga Naib Presiden Umno.

Kebetulan, ketika dia bertanding, ada dua lagi calon dari Johor yang turut menawarkan diri iaitu Dato' Seri Hishammuddin Hussein dan Tan Sri Syed Hamid Albar.

Undi yang diterima Mohamad Khaled agar besar. Namun, disebabkan Najib tidak mampu menambah bilangan wakil MT dari Johor setelah Hishammuddin menang kerusi naib, Muhyiddin menang kerusi Timbalan Presiden, Dato' Dr. Abdul Latiff Ahmad menang kerusi MT, Najib melantik dua MT tambahan, iaitu Dato' Razali Ibrahim (Naib Ketua Pemuda) dan Dato' Abdul Ghani Othman (Menteri Besar) menjadikan ada lima wakil Johor dalam MT sekarang.

Dari segi logiknya, Najib sepatutnya melantik Mohamad Khaled, tetapi Najib melantik Rais Yatim yang jauh undinya jika dibandingkan dengan undi yang dikutip Rais bagi kerusi Naib Presiden.

Najib tentunya mempunyai alasannya sendiri mengapa dia melantik Rais dan tidak melantik Mohamad Khaled – tetapi kesannya sekarang, Mohamad Khaled yang menjadi menteri terpaksa mempunyai timbalan menteri yang menang kerusi MT.

Tentulah Mohamad Khaled kekok. Apa yang dibincangkan dalam MT, Mohamad Khaled tidak tahu, tetapi apa yang Mohamad Khaled bincang dalam kabinet, timbalannya perlu tahu melalui mesyuarat pasca kabinet.

Dalam banyak hal, timbalan menteri sebenarnya tidak boleh melebihi menteri. Tetapi, malang bagi Mohamad Khaled, timbalan menterinya ini adalah Ahli Parlimen Temerloh dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Temerloh. Maknanya dia orang Pahang, satu negeri dengan Perdana Menteri.

Mungkin atas sebab itu, Saifuddin boleh mengatakan dia lebih rapat dengan Najib daripada Mohamad Khaled.

Kebetulan, Mohamad Khaled dikenali sebagai orang Tun Abdullah Ahmad Badawi yang terselamat dari penyingkiran, seperti yang berlaku terhadap Datuk Seri Mohamad Zin Mohamad (Menteri Kerja Raya) dan Dato' Idris Harun (Timbalan Menteri Pengajian Tinggi).

Hari ini, ketika Khaled mengeluarkan kenyataan mengatakan beliau tidak ada halangan untuk menurut apa sahaja keputusan Umno untuk melihat semula kebenaran mahasiswa aktif politik, tentunya dia berasa pelik mengapa timbalannya tidak berbincang terlebih dahulu dengannya untuk membawa semula cadangan itu ke MT.

Benarkah MT mengambil maklum dan berbincang secara khusus isu ini atau, Saifuddin mengadakan pertemuan sendiri dengan Perdana Menteri atas sifatnya sebagai 'orang Pahang'.

Isu ini bukan isu main-main. Jika benar-benar kerajaan mahu membenarkan mahasiswa aktif politik, segala sekatan dan halangan yang ada hendaklah dibuang – khususnya AUKU.

Jika tidak membenarkan, buatlah secara teliti kerana yang bakal menjadi mangsa dalam isu ini ialah mahasiswa dan masa depan mereka.

Ia bukan perkara mudah. Ia bukan perkara kecil. Adalah lebih baik jika Perdana Menteri menubuhkan satu jawatankuasa membuat kajian menyeluruh dan bukan bergantung dari laporan dan cadangan Saifuddin Abdullah seorang sahaja.

Saifuddin juga perlulah lebih berhemah, kerana dia bukan orang politik sebenarnya, kecuali aktif dengan pertubuhan belia dan sedikit waktu dahulu banyak menulis artikel mengenai pemikiran dan sifat orang muda.

Jangan kerana pertelagahan antara dia dengan Mohamad Khaled, akhirnya universiti, pusat pengajian tinggi yang menjadi tempat kegemilangan pelajaran dijadikan medan untuk mengejar populariti ahli politik terdesak.    

Lebih penting, jangan pula ketika Saifuddin sudah menyediakan kertas cadangannya, tiba-tiba Najib memindahkannya ke kementerian yang tidak ada kaitan langsung dengan universiti.

Dan tentunya Saifuddin lebih bersedia untuk bersama-sama mahasiswa di kementerian sekarang daripada kementerian yang sibuk dengan tender dan projek. - SAFAR JUMAAT
 
www.detikdaily.net

No comments:

Post a Comment