Wednesday, September 22, 2010

UMNO ECER JENAKA GIMIK RM4 BILION

KOTA BHARU, 22 Sept: Berita PAS Kelantan diberi replika cek bernilai RM4 bilion ternyata berjaya mengejutkan banyak pihak, namun anehnya Perhubungan PAS negeri tidak tahu menahu mengenai sumbangan tersebut.

Gimik syarikat I’DA World Group di sebuah hotel lima bintang, baru-baru ini dengan menulis replika cek bernilai RM4 bilion disumbang kepada PAS kini sudah bertukar menjadi isu politik.

Namun, bagi Umno gimik yang tidak berjijak di alam nyata sudah dianggap isu besar sehingga mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyiasat.

Maka banyak pihak yang berpangkal dari gubuk Umno waima Pemuda, Puteri dan NGO yang lahir dari sayap Umno bertempik sorak menuduh PAS dan kerajaan Kelantan terpalit dengan rasuah.

Mereka ’persyaitan’ akal waras. Kemunasabahan atau lojik replika cek RM4 bilion tidak perlu diheret begitu jauh kerana dari awal lagi disifatkan tidak lebih sebagai satu jenaka.

Lebih-lebih lagi penjelasan kerajaan negeri syarikat terbabit belum pun menghantar sebarang proposal projek yang mahu dibangunkan.

Kata orang tua, ikan masih di laut. Unit Perancangan Ekonomi Negeri dan Pusat Pelaburan Negeri difahamkan belum menerima apa-apa kertas cadangan projek dimaksudkan syarikat terbabit.

Anehnya tiba-tiba syarikat itu mendakwa mendapat projek bernilai sehingga RM330 bilion di Tumpat.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri, Mohd Zaki Ibrahim berkata, ia tidak lebih sebagai satu jenaka.


Malah katanya, PAS Kelantan tidak pernah dimaklumkan mengenainya biar pun cek itu dikatakan diserah pada satu majlis makan malam anjuran I’DA World Group.

”Badan Perhubungan PAS tidak dijemput hadir pada majlis makan malam anjuran syarikat berkenaan.

”Ini tidak lebih sebagai satu jenaka kerana kerajaan negeri tidak pernah menerima sebarang kertas cadangan projek daripada I’DA World Group.

”Perhubungan PAS Kelantan menafikan ada hubungan dengan syarikat berkenaan. Malah kita pun tidak kenal siapa pemilik syarikat itu,” katanya di sini.

Manakala pihak yang tampil menerima replika cek berjumlah RM4 bilion daripada syarikat I’DA World Group Sdn Bhd juga menjelaskan kehadirannya di majlis itu tidak mewakili Menteri Besar atau PAS Kelantan seperti dilaporkan.

Nik Din Nik Mat adik kepada Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberitahu kehadirannya di majlis berkenaan di atas kapasiti peribadinya sendiri setelah menerima jemputan.

“Saya tidak mewakili Menteri Besar di majlis berkenaan. Malah saya juga terkejut tiba-tiba dipanggil pihak urusetia penganjur untuk menerima replika cek terbabit,” katanya, semalam.

Beberapa akhbar Selasa lalu menyiarkan gambar Nik Din menerima replika cek berjumlah RM4 bilion yang ditulis atas nama Parti Islam Semalaysia (PAS) diserah Pengerusi Eksekutif I’DA World Group Sdn Bhd, Abdul Rahim Abdul Wahab.

Abdul Rahim dilaporkan berkata, sumbangan kepada PAS Kelantan untuk membantu melaksanakan prasarana di beberapa jajahan di negeri ini.
 
Bagaimanapun malangnya berita bersifat jenaka itu sudah menjadi modal besar bagi Umno bagi menghodohkan wajah PAS dan kerajaan Kelantan.

Mereka tidak perlu berfikir panjang, sekadar menggunakan ’otak di kaki lima’ lalu menembak peluru kapur yang akhirnya terpelanting di kaki mereka sendiri.

Ramai pemimpin Umno mahu menjadi jaguh dengan mengulas isu yang berkisar kepada epik dan jenaka termasuk Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid dan Ketua Pemuda Umno Kelantan, Anuar Safian.

Samalah seperti dakwaan Ketua Penerangan Pemuda Umno Malaysia, Datuk Reezal Merican Naina Merican tanpa usul perika mendakwa wang sumbangan kerajaan Pulau Pinang kepada warga emas hasil dari duit judi.

Maka tidak hairanlah golongan profesional dan ahli akademik ketawa dengan watak kampung yang masih lagi membelenggu pemikiran pemimpin Umno.

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Nik Wan Yusof berkata, pejabat Menteri Besar sebelum ini ada menerima kad jemputan hadir ke majlis anjuran syarikat I’DA World Group.

Bagaimanapun katanya, kad jemputan tersebut hanya tertera logo syarikat dan tidak ada ada nama penghantar serta tiada nombor telefon rujukan untuk dihubungi.

”Kad tersebut tidak dapat disahkan kerana tidak ada nama pengirim dan nombor telefon. Ini menyebabkan Menteri Besar tidak dapat menghadiri jemputan tersebut,” katanya di sini.

Menurutnya syarikat berkenaan belum diluluskan sebarang projek pembangunan di Kelantan biar pun pengerusinya mendakwa mendapat projek bernilai RM313.71 bilion di Tumpat.

Manakala pada carian di laman web www.idaworld.com.my dipaparkan gambaran projek syarikat berkenaan di Tumpat yang dikenali sebagai projek pembangunan bersepadu dan penjanaan ekonomi di Kelantan.

Lakaran gambar projek seperti di Dubai, Emeriah Arab Bersatu yang lengkap dengan segala kemudahan terkini.

Projek itu dikenali sebagai super mega Seri Tujuh dikatakan akan dibangun di kawasan seluas 144,000 ekar membabitkan kos RM313.71 bilion.

Tertera juga alamat syarikat berkenaan di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor.

Mohd Zaki yang juga Adun Kelaboran berkata, Badan PAS Negeri belum bercadang melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa biar pun mengaitkan cek RM4 bilion dengan PAS Kelantan.

”Kita tidak kenal syarikat terbabit. Kita tengok dahulu perkembangannya sebelum mengambil tindakan lanjut bagi mengelakkan ada pihak mencemarkan nama PAS dan kerajaan negeri,” ujarnya.
 
SUMBER DARI ; www.gigitankerengga.blogspot.com 

No comments:

Post a Comment