Monday, September 20, 2010

CAJ TANAH KTMB : MALAYSIA IKUT TELUNJUK S'PURA ?

Caj Tanah KTMB: M'sia Ikut Telunjuk S'pura?

Najib bersalaman dengan Lee selepas sidang media bersama di Istana Singapura pada lawatan kerja rasmi 24 Najib di Singapura di sini, hari ini. — Gambar Bernama

SINGAPURA, 20 Sept 10: Malaysia dan Singapura bersetuju untuk membawa isu tertangguh berhubung bayaran bagi pembangunan tanah KTMB di republik ini, yang akan dimajukan secara bersama oleh kedua-dua negara, ke Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa. 

Kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatan beliau dari Singapura Lee Hsien Loong di Istana di sini hari ini menyebut bahawa kedua-dua pemimpin itu bersetuju menyelesaikan isu berkenaan secara baik melalui timbang tara di bawah naungan Mahkamah Timbang Tara Tetap.

Kenyataan itu berkata kedua-dua negara mempunyai pandangan berbeza tentang caj yang perlu dibayar melibatkan Perkara-perkara yang Dipersetujui (POA) berhubung bayaran bagi tiga bidang tanah berkenaan di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands.

Tanah terbabit dijangka dimajukan sebuah syarikat usaha sama 60-40, M-S Pte Ltd, yang akan ditubuhkan antara Khazanah Nasional Berhad dari Malaysia dan Temasek Holdings Ltd dari Singapura.

Najib dan Lee juga bersetuju menerima keputusan mahkamah berkenaan sebagai keputusan muktamad dan perlu dipatuhi.

Adalah difahamkan caj pembangunan, yang dikenakan terhadap mana-mana pihak yang ingin memajukan sebarang tanah di Singapura, adalah besar jumlahnya sekiranya tiga bidang tanah berkenaan ingin dibangunkan.

Perkara yang menjadi persoalan sekarang ialah berdasarkan POA yang dimeterai oleh kedua-dua negara pada 1990, fasal tentang siapa yang perlu membayar caj pembangunan tidak begitu jelas.

Singapura membuat tafsiran bahawa syarikat yang akan memajukannyalah yang perlu membayar caj itu, manakala Malaysia pula berpendapat tiada sebarang kos perlu dijelaskan.

Bagaimanapun, Najib dan Lee bersetuju bahawa proses timbang tara berkenaan perlu mengikut laluannya sendiri dan tidak sepatutnya menjejaskan pelaksanaan POA terbabit serta inisiatif dua hala lain yang telah dipersetujui sebelum ini dalam rundingan pertama mereka di sini pada 24 Mei lepas.

Dalam rundingan itu, Malaysia bersetuju memindahkan stesen KTMB Tanjong Pagar ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands menjelang 1 Julai depan, manakala tiga bidang tanah berkenaan akan diserahkan kepada M-S Pte Ltd untuk dimajukan secara bersama serta menukar beberapa keping tanah di Marina South dan Ophir-Rochor.

Bercakap pada sidang akhbar bersama dengan Lee kemudiannya, Najib berkata walaupun isu itu bukan merupakan masalah besar, tetapi ia penting kerana mereka mahu wujudnya suatu persetujuan (POA) yang mampu bertahan oleh ujian masa.

Najib berkata mereka mahu agar ia menjadi suatu perjanjian yang sah di sisi undang-undang dan betul daripada segi politik serta akan diterima oleh rakyat kedua-dua negara, termasuk generasi akan datang.

Najib berkata: “Perjanjian ini merupakan bab terakhir dalam aturan yang begitu tua usianya, yang dimulakan 20 tahun lepas.

“Kedua-dua kami gembira dan berasa lega dalam erti kata kami boleh menyifatkannya sudah selesai dan seterusnya, melangkah ke hadapan.”

Beliau berkata Singapura dan Lee telah mempamerkan komitmen tinggi dalam menangani POA berkenaan, yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan memantapkan lagi versi lama POA itu. — Bernama

Komen Blog Ibnu Hasyim: Apakah Malaysia pimpinan BN ikut telnjuk Singapura? Berulang lagi sejarah Batu Putih?
 
SUMBER DARI : www.ibnuhasyim.com

No comments:

Post a Comment