Thursday, November 25, 2010

17 RIBU LAPTOP 1 MALAYSIA DIAGIHKAN DI PAHANG

Sebanyak 17,927 unit komputer riba telah diagihkan kepada pelajar bagi fasa pertama pemberian komputer riba 1Malaysia di Pahang.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang Datuk Mohd Sharkar Shamsudin, pemberian komputer riba yang merupakan insiatif kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia itu melibatkan pelajar di 100 buah sekolah di Pahang.

"Ini bertujuan untuk mencapai sasaran penembusan jalur lebar 50 peratus pada penghujung tahun 2010 selain merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar," katanya ketika menjawab soalan Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah (BN-Sungai Lembing) mengenai pemberian komputer riba berkenaan di Pahang pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang, di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata bagi memastikan keberkesanan penggunaan komputer riba 1Malaysia itu, setiap penerima diwajibkan menjadi anggota Pusat jalur lebar komuniti yang berdekatan kawasan mereka.

Menjawab soalan tambahan Md Sohaimi ketelusan pemberian komputer riba berkenaan, beliau berkata pihak sekolah terbabit mempunyai kriteria tertentu dalam memastikan pelajar yang benar-benar layak sahaja menerima komputer riba berkenaan.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan Pahang Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata kerajaan negeri menerusi Jabatan Perhutanan Negeri Pahang masih tetap membuat peancangan untuk membangunkan kawasan Hutan Lipur Lubuk Yu, Maran, yang sebelum ini dilanda wabak leptospirosis dan meliodosis sehingga meragut lapan nyawa baru-baru ini.

"Pihak kerajan negeri telah memohon peruntukan sebanyak RM1 juta bagi tempoh Rancangan Malaysia ke-10 khusus untuk membangunkan kawasan tersebut," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Shahaniza Shamsuddin (BN-Kuala Sentul) mengenai cadangan pembangunan semula kawasan berkenaan sebagai destinasi pelancongan.

Shafik Fauzan berkata kerajaan negeri menerusi jabatan dan agensi berkaitan akan meneruskan langkah-langkah pengawalan penyakit di kawasan berkenan dan akan melakukan pemeriksaan secara berkala agar kejadian wabak berkenaan tidak berulang.

"Antara komponen yang dicadangkan adalah menaik taraf tandas, menaik taraf wakaf, bilik persalinan, tempat duduk dan tempat rehat," katanya.

--Bernama

No comments:

Post a Comment