Thursday, November 4, 2010

HUBUNGAN SAYA DENGAN PAS TETAP BAIK SELEPAS GALAS - KU LI


Friday, November 5, 2010
GUA MUSANG, 4 Nov — Walaupun Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, namun Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan hubungan beliau dengan kepimpinan PAS tetap baik selepas ini.

“Hubungan saya dengan PAS baik, malah Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP juga.

“Saya baik dengan semua orang, boleh berbaik dan berbincang, itulah demokrasi.

“Malah saya juga boleh berbincang secara ‘private’ dengan pemimpin PAS, PKR dan DAP untuk membincangkan masalah rakyat,” kata Ahli Parlimen Gua Musang ini ketika ditemui di kediamannya di Bukit Cekati di sini.

Hubungan Tengku Razaleigh dan PAS kelihatan mesra selepas era 1990-1996 khususnya dalam isu pertikaian mengenai royalti minyak.

Sebelum ini Tengku Razaleigh yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil BN di Galas menjadi mangsa serangan peribadi daripada PAS dalam kempen pilihan raya kecil.

Pengarah Pilihan Raya PAS pusat Datuk Halim Abdul Rahman telah melabelkan Tengku Razaleigh sebagai “ejen” BN untuk memberi sogokan kepada pengundi-pengundi di DUN Galas.

“Kita percaya BN akan gunakan senjata kewangan mereka, walaupun jika dilihat dari sudut pergerakan BN ia nampak perlahan tapi ‘air yang tenang jangan disangka tiada buaya’.

“Ku Li (Tengku Razaeligh) akan mempertahankan maruah dan beliau perlu buktikan bahawa beliau masih mempunyai kekuatan di Gua Musang,” katanya.

Ia merupakan serangan kali kedua terhadap Tengku Razaleigh yang mana sebelum ini Penasihat Jentera Pilihan Raya PAS DUN Galas Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdul menuduh beliau sebagai “pengkhianat” berhubung isu Orang Asli di Gua Musang.

BN hari ini merampas semula kerusi DUN Galas melalui calonnya Abdul Aziz Yusoff yang menewaskan calon PAS Dr Zulkefli Mohamad.

Abdul Aziz mendapat 5,324 iaitu 56 peratus manakala Zulkefli menerima 4,134. Undi rosak serabanyak 132.

Abdul Aziz merekodkan majoriti 1,190 undi — hampir dua kali ganda berbanding kelebihan undi dicatatkan oleh PAS pada 8 Mac 2008.

Pada Mac 2008, kerusi itu ditawan oleh PAS dua tahun lalu — buat julung kali — dengan kelebihan 646 undi menerusi Che Hashim Sulaima.

DUN Galas mempunyai 11,553 pengundi berdaftar. Seramai 9,555 pengundi atau 82.71 peratus keluar mengundi pada pilihan raya kecil DUN Galas berbanding 81 peratus pada pilihan raya umum 2008.

Bernama melaporkan, Pengerusi Badan Perhubungan BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed menganggap kemenangan besar BN di kawasan DUN Galas sebagai sesuatu di luar jangkaan yang memberikan petanda kebangkitan BN di Kelantan.

“Kemenangan ini sesuatu yang di luar jangkaan kerana pada awalnya kita jangkakan peluang 50-50 atau menang tipis, tetapi peningkatan jumlah undi ini sesuatu yang di luar jangkaan. Ini petanda yang baik, bermakna rakyat telah terima transformasi yang dibuat kerajaan BN dan menolak strategi pembangkang yang menabur fitnah, bongkak dan kasar,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Sivik Gua Musang di sini, malam ini.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata pendekatan kempen sederhana yang diterajui Tengku Razaleigh mendatangkan hasil yang membanggakan dan boleh dipraktikkan di peringkat nasional.

Katanya beliau yakin Abdul Aziz mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan bagi menyelesaikan masalah dihadapi rakyat di DUN itu.

Ditanya mengenai sama ada kemenangan itu akan menjadi titik kejatuhan PAS di Kelantan, Mustapa berkata “Saya tidak mahu tamak dan takbur, kita diajar bersederhana, tetapi ia akan memberi keyakinan dan semangat kepada BN Kelantan”. 
 
www.lpdn28.blogspot.com

No comments:

Post a Comment