"Menjelang 2014, akan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam di zon hiburan. Ini akan menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7 bilion dan mewujudknan 5,614 pekerjaan baru menjelang 2020," petik sebuah laporan..
TINDAKAN pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP) adalah sangat dikesali.
Berdasarkan perancangan tersebut, kerajaan akan menubuhkan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan “mempakejkan” semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.
Ketika isu gejala sosial seperti pembuangan bayi, zina, rogol dan lain-lain dibincangkan dengan hangat di media massa, tiba-tiba kerajaan menyongsang arus merancang pula untuk menjadikan Malaysia sebagai hub hiburan.
Kajian menunjukkan bahawa gejala sosial yang melanda negara kita pada hari ini antara punca utamanya adalah hiburan yang berlebihan dan tidak terkawal. Nafsu manusia dirangsang melalui hiburan-hiburan seumpama ini yang akhirnya membawa kepada penzinaan dan seterusnya pembuangan anak apabila mengandung.
Dengan perancangan ini, jelas menunjukkan bahawa kerajaan tidak serius untuk mengatasi gejala sosial yang berlaku. Kerajaan lebih mengutamakan keuntungan duit semata-mata berbanding dengan usaha untuk mengatasi gejala tersebut apabila menjangkakan ia akan memberi pendapatan negara kasar sebanyak RM 427 juta dan mewujudkan sebanyak 8,000 peluang pekerjaan.
Atas rancangan tersebut, kerajaan akan menubuhkan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu dengan pelaburan sebanyak RM467 juta yang akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Jangkaan pulangan hasil pelaburan tersebut adalah sebanyak RM1.8 bilion menjelang 2020.
Perlu dinyatakan di sini bahawa walaupun kerajaan telah menganjurkan pelbagai program keagamaan seperti sambutan hari-hari kebesaran Islam, ceramah, kuliah dan lain-lain termasuk yang terbaru menubuhkan TV Al-Hijrah yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, program-program tersebut hanya akan menjadi sia-sia apabila kerajaan terus menggalakkan hiburan yang berlebihan.
Sebagai seorang manusia, seseorang akan lebih cenderung kepada hiburan berbanding dengan program keagamaan kerana sifat tabiat semulajadi manusia yang diciptakan adalah sedemikian.
Rancangan kerajaan ini menampakkan lagi bahawa kerajaan tidak ada keinginan politik untuk melaksanakan Islam secara menyeluruh dan membongkarkan lagi pembohongan kerajaan bahawa negara ini adalah negara Islam untuk mengaburi mata orang Islam tetapi hakikatnya negara ini adalah sebuah negara sekular.
Justeru, Ulamak Pelapis PAS menentang sekeras-kerasnya tindakan kerajaan ini yang ingin menjadikan Malaysia sebagai hub hiburan. Jika kerajaan ikhlas untuk mengatasi masalah gejala sosial dan membangunkan negara mengikut acuan sendiri, tidak acuan barat, seharusnya kerajaan membatalkan cadangan ini dan seterusnya mengurangkan tempat-tempat hiburan yang ada. Kerajaan seharusnya berusaha untuk membentuk suasana Islam dan bukannya menghalalkan cara demi untuk mencapai matlamat.
Dewan Ulamak PAS Pusat
Kuala Lumpur
www.ibnuhasyim.com
No comments:
Post a Comment