Saturday, November 27, 2010

INI BUKAN PERANGAI MANUSIA : TOK GURU NIK AZIZ


KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan mereka yang membuat tuduhan mendakwa Kerajaan Negeri Kedah gagal membantu mangsa banjir sebagai individu yang tidak berperangai sebagai manusia. 

Beliau yang berang dengan tuduhan itu berkata, sepatutnya Kerajaan Pusat mengambil tindakan membantu Kerajaan Negeri dalam menguruskan dan membantu mangsa banjir yang mengalami beban dengan keadaan semasa. 

“Pelbagai agensi turun termasuk Menteri Besar (Datuk Seri Azizan Abdul Razak) dan mengadakan pelbagai bantuan tetapi ada dari pihak Kuala Lumpur yang kata (Kerajaan Negeri) lepas tangan, ini kempen jahat hasil orang tiada modal. 

“Sepatutnya mereka simpati kepada Kerajaan Negeri dan rakyat, bagi bantuan, arah polis dan bomba. Ini tidak, tiba-tiba orang yang sudah kena bala dilanyak pula, ini bukan perangai manusia,” katanya ketika ditemui selepas kuliah Jumaat di sini, semalam. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kecaman dari Kerajaan Persekutuan yang mendakwa kerajaan Kedah gagal membantu mangsa banjir yang dialami di negeri itu baru-baru ini. 

Semasa persidangan DUN Kedah, Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah bertitah dukacita dengan pihak-pihak yang tidak menghargai sumbangan dan pengorbanan Kerajaan Negeri membantu mangsa banjir besar tersebut. 

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan meminta rakyat mengucapkan tahniah kepada Sultan Kedah yang peka terhadap isu tersebut dan bertitah seperti mana yang diketahui umum. 

Dalam pada itu, Nik Mat enggan mengulas tindakan Datuk Zaid Ibrahim yang mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini. 

Beliau berkata, isu Zaid yang dikatakan ingin menubuhkan parti baru bersifat peribadi dan tidak sesuai diulas oleh beliau. 

“Tak apa, isu Zaid soal peribadi, beliau yang selesaikan sendiri,” katanya ringkas. 

Sebelum ini, Zaid yang juga bekas Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan ketika mengumumkan keputusan keluar parti berkata, beliau tidak akan menyertai Pas kerana ia sebuah parti yang besar. 

Nik Aziz antara individu yang mempertahankan kemasukan Zaid ke PKR walaupun beliau pernah mengkritik pentadbiran Pas Kelantan termasuk isu hudud semasa menjadi ahli UMNO.
 
                                www.gigitankerengga.blogspot.com

No comments:

Post a Comment