Sunday, November 7, 2010

KEDAH JAWAB 1 JUTA MANGSA BANJIR -DATOK PAHROLRAZI




ALOR SETAR, 7 Nov 10: Kerajaan Negeri Kedah telah memperuntukkan hampir RM1 juta untuk membantu mangsa banjir di samping RM500,000 daripada wang zakat yang diumumkan Sultan Kedah semalam.

Exco kerajaan negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi (gambar) berkata, soal kerajaan negeri tidak membantu mangsa banjir tidak berbangkit langsung di negeri ini.

"Yang menjadi masalah adalah media yang tidak membuat liputan untuk kerajaan negeri," kata beliau.

Kerajaan negeri, katanya, telah menubuhkan Bilik Gerakan Banjir peringkat negeri dan daerah. Di peringkat negeri ia diketuai oleh Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri manakala di daerah di ketuai Pegawai Daerah. "Memandangkan SUK di Mekah, Timbalan SUK, Datuk Haji Ahmad Mat Isa yang ketuai operasi ini," kata Phahrolrazi kepada Harakahdaily.

Selain jentera kerajaan, NGO dan parti politik khasnya PAS dan Pakatan Rakyat juga terlibat.
"Dakwaan Shahrizat Jabatan Kebajikan Masyarakat agensi pusat tak betul. Pengarahnya staff kerajaan negeri. Ia agensi bersama," katanya.

Beliau mengaku jabatan itu paling banyak membantu magsa di samping kerajaan tempatan, polis, bomba dan juga jabatan kesihatan dan pelajaran.

Hari ini, kata Phahrolrazi, pihaknya bersama JKR akan bersama syarikat yang menjaga konsesi trek berkembar, Gamuda, akan menyiasat kalau projek itu menyebabkan laluan banjir tersekat.

"Memang di Jalan Tun Razak dan Jalan Sultanah ada isu itu, kita akan siasat secara menyeluruh hari ini," katanya.

(Gambar: Pengerusi surau As Siddiqin, Bandar Tasik Puteri, Rawang menyerahkan sumbangan kepada ustaz Ghazali Omar (kanan) untuk diserahkan kepada mangsa banjir di Kedah)

Sementara itu, sumbangan dari luar datang mencurah-curah untuk membantu mangsa banjir di negeri Kedah. Tengahari ini, Exco kerajaan negeri Selangor, Dr Halimah Ali menyerahkan sumbangan RM400,000 dari kerajaan negeri Selangor kepada kerajaan negeri Kedah.

Bantuan juga diserahkan oleh kawasan-kawasan PAS di seluruh negara di samping kutipan dibuat di masjid dan surau untuk diserahkan kepada mangsa banjir. Pemuda PAS kawasan Selayang telah menghantar kira-kira 50 kampit beras dan diserahkan di bilik oeparasi banjir PAS yang terletak di Kompleks PAS Kedah, dekat Kota Sarang Semut. (AK)

www.ibnuhasyim.com

No comments:

Post a Comment