Monday, November 1, 2010

MINYAK NAIK LAGI DIBAWAH PEMERINTAHAN NAJIB : RON97 NAIK LIMA SEN






KUALA LUMPUR, 1 Nov: Berkuatkuasa 2 November, harga minyak petrol RON97 dinaikkan lima sen menjadikan harga terkini minyak petrol jenis terbabit kepada RM2.15 seliter.

Kali terakhir harga minyak petrol RON97 dinaikkan adalah pada 15 Julai lalu yang menyaksikan harga  lima barangan keperluan asas dinaikkan.

Kerajaan Barisan Nasional pimpinan UMNO ketika itu memberikan alasan bahawa kenaikan tersebut perlu bagi "mengurangkan beban subsidi" minyak petrol yang terpaksa ditanggung kerajaan.

Kerajaan juga telah mengumumkan bahawa  harga minyak petrol RON 97 akan ditentukan melalui apungan yang terkawal sambil menetapkan bahawa hanya minyak petrol RON97 sahaja boleh dijual kepada kenderaan yang berpendaftaran luar negara.

Pemotongan subsidi berkenaan adalah sebahagian daripada rancangan Kerajaan BN untuk mengurangkan subsidi bagi barangan keperluan asas seperti yang dicadangkan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (PEMANDU) yang diketuai oleh Idris Jala, menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Kenaikan harga minyak petrol RON97 berlaku ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak baru-baru ini, dalam pembentangan bajet 2011 nya mengumumkan cadangan pembangunan beberapa projek mega, antaranya Menara Warisan setinggi 100 tingkat yang menelan belanja RM5 bilion, dan juga rancangan menjadikan negara ini sebagai hab hiburan.

Projek-projek mega tersebut, katanya boleh membawa masuk lebih banyak pelaburan disamping menarik minat lebih ramai lagi pelancong ke negara ini seterusnya menjana pendapatan yang lebih tinggi daripada industri terbabit.
 
Idris pula, pada awal tahun ini juga pernah memberi amaran bahawa kenaikan lima harga barangan asas itu perlu bagi mengurangkan beban subsidi yang boleh menyebabkan negara ini menghadapi kemungkinan muflis jika sebarang langkah pengurangan subsidi berkenaan tidak dilaksanakan.
 
www.gigitankerengga.blogspot.com

No comments:

Post a Comment