Tuesday, October 12, 2010

ADUN KUALA NERANG PERTAHAN SOKONG MB KEDAH


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim bersedia pada bila-bila masa untuk dipanggil memberi penjelasan kepada pimpinan UMNO negeri berhubung kenyataannya menyokong Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam isu air yang mencetuskan kontroversi sejak minggu lalu.

Syed Sobri yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Padang Terap berkata, beliau juga bersedia untuk menjawab mengenai tindakannya mengkritik Ketua Pemuda UMNO Kedah, Badrol Hisham Hashim yang mendesak Azizan meletak jawatan jika isu itu terus berlarutan.

“Kenyataan saya mengenai sokongan kepada Menteri Besar hanya berhubung isu laporan kepada SPRM, bukannya menyentuh mana-mana parti politik atau untuk kepentingan peribadi.

“Saya bercakap demi kepentingan rakyat dan saya bersedia pada bila-bila masa untuk memberikan penjelasan kepada Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal jika dikehendaki berbuat demikian,” katanya.

Syed Sobri berkata, beliau akan tetap mempertahankan kenyataan itu yang dianggap tidak melanggar disiplin parti.

“Saya sedia dihukum jika didapati bersalah namun saya akan tetap mempertahankan kenyataan yang saya buat demi kepentingan rakyat,” katanya.

Sementara itu, kata Syed Sobri, isu kenaikan tarif air perlu dilihat secara positif sebagai kempen agar rakyat lebih sedar akan kepentingan air dan menggunakannya dengan bijak.

“Kita belum lagi terima bil untuk bulan ini bagi melihat sejauh mana kesannya, bagaimanapun saya akan membuat semakan Januari depan bagi menilai kualiti perkhidmatan air yang disalurkan Syarikat Air Darul Aman (Sada) kepada rakyat selepas kenaikan tarif air.

“Jika masih ada kawasan yang terputus bekalan air atau menerima air yang tidak bersih, keputusan Sada menaikkan tarif air wajar dipertikaikan,” katanya.

Syed Sobri berkata, Sada wajar diberikan peluang untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan seiring dengan kenaikan tarif air.

Ditanya mengenai maklum balas yang diterima selepas beliau membuat kenyataan menyokong Azizan, Syed Sobri berkata, ramai juga yang menyokong kenyataannya itu termasuk pemimpin UMNO.

“Yang marah, mungkin mereka tak baca kenyataan saya itu dengan teliti sehingga habis. Kalau faham, mereka takkan marah,” katanya. -  

http://greenboc.blogspot.com

No comments:

Post a Comment