Tuesday, October 12, 2010

SADA SEDIA TURUN TARIF AIR

ALOR SETAR - Syarikat Air Darul Aman (Sada) sedia menurunkan semula tarif air yang baru dinaikkan 1 Oktober lalu jika harga bahan api dan kadar tarif elektrik sedia ada diturunkan oleh Kerajaan Pusat.

Ketua Pegawai Eksekutif Sada, Datuk Adzmi Din, memberi jaminan akan menurunkan kadar tarif air sejajar dengan peratus penurunan kadar tarif elektrik dan harga bahan api, sehari selepas pengumuman penurunan kadar tarif elektrik dibuat.

Menurutnya, lebih 50 peratus daripada kos operasi rawatan dan penyaluran bekalan air ke setiap daerah di Kedah melibatkan pembayaran bil elektrik memandangkan proses pembersihan dan penyaluran air menggunakan tenaga elektrik.

“Sada berani beri jaminan sedemikian kerana lebih 50 peratus proses operasi pengurusan bekalan air melibatkan penggunaan tenaga elektrik dan kadar tarif elektrik amat mempengaruhi kos operasi kami.

“Sekiranya Kerajaan Pusat boleh menurunkan tarif elektrik dan harga bahan api dalam masa terdekat, sehari selepas itu, kita akan umumkan penurunan tarif air di Kedah,” katanya.

Adzmi mengakui kualiti bekalan air dan perkhidmatan syarikat itu masih lagi tidak memuaskan tetapi menegaskan, beberapa usaha penambahbaikan sedang giat dijalankan bagi memastikan perkhidmatannya mencapai piawaian ditetapkan.

Menurutnya, walaupun rakyat Kedah mahu melihat syarikat itu menyelesaikan isu air yang begitu lama berlarutan, beliau yakin Sada mampu menggalas tanggungjawab itu dengan syarat diberikan ruang dan masa yang secukupnya.

“Apa jua perancangan dan keputusan Sada sentiasa mengambil kira kepentingan rakyat dan keputusan pelarasan tarif air baru ini diluluskan Kerajaan Pusat dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span).

“Dari segi perkhidmatan, saya minta rakyat Kedah beri ruang untuk kami membuat penambahbaikan. Sada berada pada landasan betul untuk menyelesaikan isu air,” katanya. 
 
www.kedahlanie.blogspot.com

No comments:

Post a Comment