Sunday, October 10, 2010

OSMAN AROF (BEKAS MB KEDAH) TIDAK INGAT PERJANJIAN DENGAN TALIWORKS

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah antara 1985 hingga 1996, Tan Sri Osman Aroff mengakui sudah tidak ingat lagi fakta kontrak antara Kerajaan Negeri di bawah pemerintahannya dengan syarikat pembekal air bersih di Langkawi, Taliworks Sdn Bhd kerana sudah terlalu lama.

“Saya sudah lama sangat tinggalkan kerajaan, saya tak ingat apa-apa lagi mengenai perkara itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian kelmarin.

Osman berkata, dalam keadaan tidak ingat, beliau bimbang kenyataan yang diberikan tidak tepat dan boleh menyulitkan lagi keadaan yang sudah sedia ‘panas’.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha UMNO Kedah, Datuk Ir Nawawi Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Langkawi bahawa perjanjian dengan Taliworks ditanda tangani ketika Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Osman.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam satu kenyataan terdahulu pula mendakwa, perjanjian tersebut merugikan Kerajaan Negeri RM25 juta pada 2009 kerana perlu membayar RM39 juta kepada syarikat berkenaan sedangkan kutipan hanya RM14 juta.

Berikutan itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Idrus Jaafar pada satu sidang media kelmarin berkata, pihaknya sedia menyiasat dakwaan penyelewengan oleh Kerajaan Negeri terdahulu seperti yang didedahkan Azizan.

Ditanya mengenai kenyataan pengarah SPRM itu, Osman berkata: “Saya tidak mahu keruhkan keadaan.”
 
http://ini-yang-aku-rasa.blogspot.com

1 comment:

  1. .... itu ada permainan biasa mereka.mudah jawab tapi wang rakyat yg musnah.Tanya beliau siapa Wan Aishah penamat sumpahan Mahsuri. Pasti beliau tahu.

    ReplyDelete