Wednesday, October 27, 2010

JURU KUNCI" GUNUNG MERAPI DI PERCAYAI RENTUNG DALAM KEADAAN SUJUD

Jenazah mirip Mbah Maridjan sedang sujud ditemui

YOGYAKARTA: Mbah Maridjan, Jurukunci Merapi yang berkeras enggan meninggalkan gunung berapi berusia 400,000 tahun itu, dipercayai meninggal dunia dalam kejadian letusan gunung itu petang semalam.

Pihak berkuasa termasuk doktor percaya satu jenazah melecur yang ditemui dalam keadaan bersujud ke arah kiblat dalam bilik tidur di rumahnya di kaki gunung itu di Cangkringan daerah Sleman, adalah Mbah Maridjan yang berusia 83 tahun.

Mereka, bagaimanapun, enggan mengesahkan perkara itu sehingga hasil ujian DNA diperolehi.

Dr Kresno Heru Nugroho dari Hospital Sardjito di sini berkata, mayat berkenaan mempunyai ciri-ciri fizikal Mbah Maridjan, termasuk satu ibu jari tangannya yang bengkok, serta warna dan pakaian terakhir yang dikenakannya sebelum bencana itu petang semalam.

Beberapa hari sebelum ini, Mbah Maridjan dilaporkan memberitahu saudara maranya bahawa beliau tidak akan meninggalkan gunung Merapi kerana memikul amanah sebagai Abdi Dalem Kraton Jogja (menghamba diri kepada Sultan Jogja) sebagai penjaga gunung itu.

Pasukan penyelamat malam tadi menemui 15 mayat di dalam dan luar rumah beliau yang melecur akibat suhu tinggi awan panas debu volkanik yang turun sebagai hujan abu dalam kejadian letusan Merapi petang semalam.

Satu daripada empat jenazah itu, yang ditemui dalam rumah Mbah Maridjan dikenalpasti sebagai wartawan portal berita vivanews.com berdasarkan dokumen pengenalan diri di mayat itu.

Mayat selebihnya ditemui bergelimpangan di halaman rumah jurukunci Merapi itu turut melecur.

Selain mereka, seorang bayi juga mati akibat hujan abu panas gunung merapi itu.

Puluhan ternakan lembu penduduk kampung di lereng gunung Merapi juga ditemui mati dalam kejadian berkenaan.

Sungguhpun sudah mengambil alih sebagai Jurukunci Merapi sejak awal 1980-an, nama Mbah Maridjan hanya menjadi popular semasa bencana letusan Merapi 2006 ketika beliau enggan berpindah meninggalkan rumahnya dengan alasan belum mendapat perintah Sultan Jogja untuk meninggalkan gunung itu.

Ketika itu, katanya beliau menerima tugas sebagai Jurukunci Merapi dari Almarhum Sultan Hamengku Buwono IX dan belum ada perintah dari sultan sekarang untuk beliau pergi dari situ.

Padahal masa itu Sultan Hamengku Buwono X yang juga Gabenor Yogyakarta (anak Sultan Hamengku Buwono IX) sudah mengeluarkan perintah beliau berpindah namun Mbah Maridjan menganggap putera Sultan HB IX itu bukan raja, melainkan hanya seorang gabenor. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment