Sunday, October 10, 2010

PANAS : KONSERT ROCK "RED ON BLACK" DI KUANTAN, ANDAI UMNO BN IKHLAS PERJUANGKAN ISLAM MAKA MB DI GESA GUNAKAN KUASA HALANG PROGRAM INI.

KUANTAN, 11 Okt [11.10 am] - Orang ramai terutamanya umat Islam di bandar ini, mahu Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Adnan Yaakob (foto) bertindak segera untuk menghalang sebuah konsert rock yang bakal diadakan di Stadium Darul Makmur pada 15 Oktober ini. Konsert yang dipercayai akan menampilkan lagenda rock tanahair yang terdiri daripada Kumpulan Wings, Search dan Ella itu dinamakan "Konsert Red On Black" bakal berlangsung selama dua jam pada hari berkenaan. Konsert anjuran Awie Entertaiment Sdn Bhd dan Red On Black Sdn Bhd itu menawarkan tiket berharga RM57 untuk dibeli oleh peminat mereka. Kononnya konsert itu diadakan di Kuantan bagi mengenangkan Pahang kurang acara hiburan berbentuk konsert berskala besar. Malah menurut Awie, mereka memilih Stadium Darul Makmur, untuk menjayakan konsert tersebut agar peminat di bahagian Timur dapat bersama-sama menikmatinya. Ini kononya kerana mereka mendapati konsert Double Trouble yang lepas, kurang sekali penyertaan daripada peminat dari Pantai Timur. Justeru itu, ramai umat Islam di bandar ini kecewa dan terkilan kenapa konsert tersebut begitu mudah untuk diluluskan oleh pihak Majlis Tempatan (Majlis Perbandaran Kuantan), tanpa merujuk kepada pihak jabatan agama Islam di negeri ini. Malah, selaku Exco Agama Islam Negeri, Adnan perlu memainkan peranan untuk menghalang konsert tersebut. Tidak ada langsung ilmu dan manfaat yang boleh diperolehi menerusi konsert berkenaan. Apa yang pasti ia akan mendatangkan lebih banyak keburukan dan maksiat semata-mata. Dikala umat Islam terutamanya generasi muda hari ini yang semakin parah akidahnya, maka penganjuran acara ini wajar dihalang dengan segera.


Inilah poster iklan konsert Red On Black yang hangat diperkatakan itu

[Sudah cukuplah dengan program Jom Heboh TV3 serta acara-acara lain yang diadakan sebelum ini. Tindakan membiarkan penganjuran konsert berkenaan sebenarnya tidak mendatangkan sebarang makna untuk mempertingkatkan jatidiri dan akidah umat Islam itu sendiri. Apa yang pasti, mengikut kebiasaannya konsert seperti itu akan mengundang maksiat dan membawa keruntuhan kepada akhlak muda-mudi sebenarnya. Tiga perkara yang perlu dijawab oleh MB Pahang itu ialah apakah konsert tersebut akan membawa anak-anak Malayu lebih beriman dan bertakwa kepada Allah?. Keduanya, apakah konsert tersebut akan mendidik manusia ke jalan yang lurus dan membawa kebaikan dan ketiganya apakah ini caranya untuk menerap dan membentuk generasi muda ke arah cintakan agama, bangsa dan negara?. Sepatutnya Kerajaan Negeri Pahang yang dipimpin oleh orang Islam itu lebih "berhati-hati" dalam membenarkan sesuatu acara yang lebih cenderung ke arah maksiat seperti itu. Malah, kita khuatir perkara lain seperti minum arak, pergaulan bebas, pergaduhan dan lebih parah lagi perzinaan akan berlaku pada malam konsert tersebut. Justeru itu, diharapkan agar pihak jabatan agama Islam bersama kerajaan negeri menarik balik kebenaran penganjuran tersebut demi agama, bangsa dan negara tercinta. Tidak ada faedahnya, memberikan hiburan demi hiburan kepada generasi muda yang sememangnya sudah tersasar daripada keperibadian muslim itu sendiri sebenarnya. Jika UMNO itu benar-benar ikhlas perjuangkan Islam, MB Pahang kena buat tindakan segera untuk membatalkan konsert maksiat ini !].
 
www.pahangdaily.blogspot.com

No comments:

Post a Comment